Sabah Fest 2013 – Mempersembahkan Pementasan Muzikal ‘Injin Puput – Menjelajah ke Tengah Borneo’ (BM)

Sabah Fest 2013 – Mempersembahkan Pementasan Muzikal ‘Injin Puput – Menjelajah ke Tengah Borneo’ (BM)

Sabah Fest 2013 – Mempersembahkan Pementasan Muzikal ‘Injin Puput – Menjelajah ke Tengah Borneo’

Kota Kinabalu– Sabah Fest ataupun Pesta Sabah 2013 akan kembali mempamerkan kepelbagaian budaya tradisi rakyat Sabah. Pementasan muzikal kali ini akan mengetengahkan kepada orang ramai, ‘Injin Puput – Menjelajah ke Tengah Borneo’, yang akan diadakan pada 3 dan 4 Mei 2013, bertempat di Auditorium Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Sabah (JKKNS)  bermula pada pukul 8.30 malam.

Tema pada tahun ini, Pesta Sabah akan mengimbau kembali pada zaman bermulanya laluan kereta api Borneo Utara (North Borneo Railway) serta suasana masyarakat yang tinggal di kawasan laluan kereta api Borneo Utara ketika itu. Penonton akan berpeluang untuk menyaksikan persembahan drama tari yang akan memaparkan adat-adat lama dalam bentuk tarian, muzikal dan persembahan pentas.

Injin Puput – Menjelajah  ke Tengah Borneo,  mengisahkan peranan seorang pemuda Murut yang dikenali sebagai Aki Gounon dalam pembinaan jalan kereta api Borneo Utara. Penceritaan juga akan memaparkan perjalanan hidup beliau sejak zaman permulaan Perang Dunia ke-2 sehinggalah peperangan tamat. Selain itu, sebagai seorang pemuda yang tampan, Aki Gounon  tidak terkecuali  dalam mengharungi dunia percintaan dengan seorang gadis daripada keturunan yang berlainan.

Apakah iktibar yang akan dicanai melalui cerita Injin Puput? Bagaimanakah berakhirnya kisah percintaan Aki Guonon? Marilah bersama-sama menantikan Pesta Sabah 2013.

Selain pertunjukan pentas, demonstrasi pembuatan kraf tangan dan pameran makanan tradisional juga akan diadakan sempena Pesta Sabah. Acara ini akan berlangsung bermula pukul 10 pagi hingga pukul 10 malam bertempat di galeri kompleks JKKN Sabah, selama dua hari.

 

Acara ini dibawa khas oleh Lembaga Pelancongan Sabah (LPS) dan dianjurkan oleh Syarikat  Subsidiari Milik Penuh Sri Pelancongan Sabah Sdn. Bhd. Tiket berharga RM50 boleh didapati di pejabat Sri Pelancongan Sabah dan pejabat Lembaga Pelancongan Sabah.

 

Untuk keterangan lanjut, sila hubungi Puan Jane Lai (Sri Pelancongan Sabah) melalui telefon bernombor 088-232121 atau Puan Shirley Teo melalui telefon bernombor 088-212121. Untuk mendapatkan maklumat lanjut, boleh menghubungi melalui e-mel ke info@sabahtourism.com,  atau layari laman web www.sabahfest.com atau www.sabahtourism.com

______________________________________________________________________________

Untuk keterangan lanjut, sila hubungi:

Nova Renata Piusai

Eksekutif Publisiti & Penerbitan

Sri Pelancongan Sabah

Tel: +60 88 232121 / +60 13 802 2135

Fax: +60 88 265540 / 219401

Email: nova@sabahtourism.com

Share this post